Dapur Ketapang Logo
Menu Utama ↗
Diari 8
Catatan Perjalanan

Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti

16 November 2026
•
Abi
•

“Pengalaman mengusahakan Assakaf Equine Centre mengajar aku bahawa perniagaan yang kelihatan hebat belum tentu menguntungkan atau sesuai dengan kehidupan kita. Selepas dua tahun menguruskan sekolah menunggang kuda, aku memilih untuk berundur walaupun banyak kenangan dan pencapaian. Pengalaman itu mengajar tentang pengurusan, strategi, pengorbanan dan kepentingan meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam berniaga”

Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti

Dalam berniaga, lebih-lebih lagi kalau baru nak bermula, jangan takut untuk berubah.

Kadang-kadang kita dah mulakan sesuatu perniagaan. Dah keluar modal, dah habiskan masa, dah separuh jalan. Tapi semakin lama kita buat, semakin kita rasa macam bisnes ni susah nak pergi lebih jauh.

Namun, disebabkan kita dah mula, kita teruskan juga. Sayang nak berhenti.

Pada aku, ada masanya kita perlu duduk dan buat perhitungan semula. Adakah berbaloi untuk diteruskan? Atau lebih baik kita berhenti, ambil pengalaman yang ada dan mulakan sesuatu yang baharu?

Berhenti juga ada risikonya. Tapi terus bertahan dalam sesuatu yang tak lagi sesuai pun ada risiko.

Aku pernah melalui pengalaman ini ketika mengusahakan sebuah sekolah menunggang kuda.

Dulu aku terlibat mengusahakan Assakaf Equine Centre di Kuantan.

Kalau tengok dari luar, memang nampak gah. Orang ramai puji. Ada ketika kami mempunyai sekitar 10 ekor kuda. Aku sendiri membeli dua ekor kuda, salah seekornya bernama Zorro.

Memang best!

Yuran belajar menunggang kuda pula sekitar RM400. Kalau orang tengok angka itu, mungkin mereka fikir bisnes ni boleh buat duit banyak.

Tapi ramai tak nampak apa yang berlaku di belakang tabir.

Nak sustain sebuah pusat menunggang kuda bukan mudah. Kos makanan kuda, ubat-ubatan, rawatan bila kuda sakit, gaji staf, logistik dan macam-macam lagi.

Semuanya memerlukan duit dan pengurusan yang berterusan.

Aku cuba pelbagaikan aktiviti. Antaranya memperkenalkan horse therapy sebagai satu lagi cabang perkhidmatan untuk membantu menampung operasi.

Sebenarnya, ini juga salah satu strategi dalam perniagaan. Kita cuba diversify, cari cabang baharu supaya tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.

Tetapi selepas lebih kurang dua tahun, aku mula melihat keadaan sebenar.

Daripada untung, nampaknya lebih banyak dapat penat.

Mungkin strategi aku ketika itu belum cukup baik. Tambahan pula, aku menjalankan perniagaan ini secara sambilan kerana masih bekerja. Jadi memang sukar untuk memberikan sepenuh perhatian.

Akhirnya, kami bertiga sebagai rakan kongsi duduk bermesyuarat dan berbincang tentang masa depan perniagaan tersebut.

Aku membuat keputusan untuk menarik diri. Pada waktu itu juga aku berpindah ke Pekan.

Ada satu perkara yang aku selalu fikir.

Kalau kita nak menunggang kuda, tak semestinya kita kena memiliki kuda. Kita boleh sewa.

Jauh lebih menjimatkan.

Mungkin juga minat atau passion aku terhadap dunia kuda tidak cukup kuat untuk membuatkan aku terus bertahan dengan segala cabarannya.

Tapi aku tak pernah menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang sia-sia.

Alhamdulillah, daripada bermula dengan kosong, kami berjaya membangunkan sebuah pusat menunggang kuda yang mendapat banyak maklum balas positif.

Malah ada pelancong dan orang luar yang datang ke Kuantan semata-mata untuk merasai pengalaman menunggang kuda di Assakaf Equine Centre.

Beberapa kali juga pusat kami mendapat liputan akhbar.

Banyak sebenarnya yang kami belajar sepanjang tempoh tersebut.

Belajar membangunkan sistem. Belajar menguruskan pasukan. Belajar menguruskan kandang dan penjagaan kuda. Belajar mempelbagaikan program dan produk. Belajar pemasaran. Belajar menguruskan emosi sendiri dan emosi orang lain.

Semua itu pengalaman yang sangat berharga.

Sebab itu aku tak rasa terlalu sayang untuk meninggalkannya.

Dalam hidup, ada perkara yang kita perlu korbankan walaupun ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Kita kena tahu apa yang lebih penting.

Aku ada keluarga. Ada masa depan yang perlu difikirkan.

Ketika mengusahakan bisnes kuda dahulu, aku rasa fokus aku kepada keluarga agak berkurangan. Banyak masa bersama mereka yang terpaksa dikorbankan.

Dan perkara inilah yang aku rasa paling penting untuk direnungkan.

Kita buat bisnes kononnya nak bagi keluarga hidup senang. Nak bagi mereka bahagia.

Tapi kalau disebabkan salah urus perniagaan dan salah menyusun keutamaan, akhirnya keluarga pula yang tak gembira dengan kita, apa sebenarnya yang kita sedang kejar?

Berbaloi ke?

Aku belajar bahawa bukan semua perniagaan yang nampak hebat itu sesuai untuk kita. Bukan semua yang mendapat pujian orang perlu kita pertahankan.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk menjaga sesuatu yang kita bina, sampai terlupa menjaga orang yang sepatutnya menjadi sebab kita membinanya.

Sebab itu, dalam membangunkan Dapur Ketapang hari ini, aku cuba membawa bersama pengalaman-pengalaman lama tersebut.

Aku tak mahu sekadar membina sebuah perniagaan yang boleh menjual produk dan menjana pendapatan.

Aku juga mahu sebuah perniagaan yang sesuai dengan kehidupan aku dan keluarga. Yang boleh diurus mengikut kemampuan, tanpa perlu mengorbankan perkara yang lebih utama.

Kalau sesuatu cara tak menjadi, kita ubah. Kalau ada produk yang tak sesuai, kita kaji semula. Kalau satu model perniagaan tak boleh pergi jauh, tak salah mencuba model yang lain.

Berhenti bukan semestinya gagal. Kadang-kadang itulah keputusan yang membolehkan kita bergerak lebih jauh.

Yang penting, jangan berhenti belajar.

Bersambung ke Bahagian 9...

Galeri Foto Catatan

4 Foto
Foto 1 - Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti
Foto 2 - Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti
Foto 3 - Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti
Foto 4 - Nota 8: Berani Bermula, Berani Juga Berhenti
Apresiasi Pembaca

Suka dengan cerita & catatan perjalanan ini?

Tekan butang suka untuk memberikan sokongan kepada usaha kami membina dapur salai tradisi sabut kelapa dan sajian 100% Real Food.

Sambungan Catatan • Diari 9

Nota 9 : Jangan Kejar Untung, Bina Pelanggan Yang Datang Semula

Perniagaan yang berjaya tidak semestinya bermula dengan modal besar. Ia berkembang melalui kesabaran, istiqamah, keikhlasan dan usaha menjaga kualiti. Dalam berniaga, jangan hanya mengejar keuntungan daripada jualan pertama. Bina pengalaman pelanggan yang baik supaya mereka mahu datang semula. Pelanggan yang melakukan repeat order jauh lebih bernilai untuk kelangsungan perniagaan.

Terus ke Diari 9
Kongsikan Catatan Ini:

Catatan Diari Lain

Kisah perjalanan, operasi dapur dan refleksi masakan real food dari Pekan.

Lihat Semua

Mahu Rasa Masakan Real Food Kami?

Tempah pek Whole Leg Ayam Salai, Smokey Breast Chicken, atau Sosej Homemade Pekan hari ini.

Pesan Menu Ready Stock ↗