Dapur Ketapang Logo
Menu Utama ↗
Nota 2
Diari

Nota 2: Mencari Sesuatu Yang Boleh Dibina Bersama

11 November 2026
•
Abi
•

“Catatan refleksi peribadi tentang pengalaman jatuh bangun mencuba pelbagai bidang sehingga bermulanya langkah di Dapur Ketapang.”

Nota 2: Mencari Sesuatu Yang Boleh Dibina Bersama

Bahagian 2 —

Sejak berhenti kerja dan mula bekerja sebagai freelancer, aku banyak berfikir tentang apa yang boleh dibuat untuk menjana pendapatan dengan cepat dan mudah.

Antara perkara yang paling mudah bagi aku ialah menyediakan servis website. Sudah lebih 20 tahun aku buat kerja-kerja berkaitan web, walaupun sebelum ini sekadar kerja sampingan. Jadi bila dah boleh dikatakan 'pencen' dan banyak masa di rumah, duduk depan PC sahajalah kerja aku.

Sekarang pula sudah ada AI. Kerja yang dahulu mengambil masa berjam-jam, kadang-kadang boleh disiapkan jauh lebih cepat. Nak buat grafik, bina website, menulis kod, semuanya semakin mudah.

Tapi dalam kemudahan itu, ada satu perkara yang mula bermain dalam fikiran aku.

Sampai bila kerja ini akan bertahan?

AI berkembang terlalu pantas. Lambakan SaaS, website builder dan pelbagai tools berasaskan AI semakin banyak. Grafik, website dan servis digital yang dahulu memerlukan kemahiran khusus, mungkin tidak lama lagi boleh dibuat sendiri oleh sesiapa sahaja dengan bantuan AI.

Aku mula terfikir, satu hari nanti mungkin kemahiran yang aku ada sekarang akan menjadi semakin kurang bernilai. Obsolete.

Bukan bermaksud aku mahu tinggalkan bidang web. Kerja ini masih mudah untuk aku dan boleh memberikan pendapatan dengan cepat. Tetapi aku tak mahu terlalu selesa dan hanya menunggu sampai perubahan itu benar-benar memberi kesan.

Aku perlu ada perancangan lain.

Ada satu perkara yang aku fikirkan. Aku mahu buat sesuatu yang boleh diusahakan bersama isteri. Bukan sekadar aku duduk depan komputer dan dia menguruskan hal lain. Aku mahu ada satu aktiviti perniagaan yang kami boleh bina dan kembangkan bersama-sama.

Lalu aku fikir tentang satu perkara yang sangat asas dalam kehidupan manusia.

Makan dan minum.

Selagi manusia hidup, selagi itulah orang perlukan makanan. Setiap hari orang makan, setiap hari orang minum. Permintaan terhadap makanan sentiasa ada, tidak kira di mana kita berada.

Mungkin inilah bidang yang lebih sesuai untuk dibina sebagai usaha jangka panjang.

Aku mula fikir untuk memperbanyakkan produk Dapur Ketapang. Bukan hanya bergantung kepada sambal Ibutumis, tetapi membina satu rangkaian produk homemade yang boleh dihasilkan mengikut kemampuan dan fasa kami sendiri.

Kemudian, baru-baru ini kami pulang ke Terengganu. Aku berjumpa seorang kawan yang mengusahakan ayam salai dan pizza.

Aku tertarik melihat apa yang dia buat. Dia tunjuk dan ajar bagaimana menghasilkan ayam salai. Sebelum berpisah, dia sempat berpesan supaya aku cuba buat juga apabila pulang ke Pekan nanti.

Pesanan itu nampak ringkas, tetapi dari situlah muncul satu lagi idea.

Kenapa tidak Dapur Ketapang menghasilkan produk salai sendiri?

Aku mula berfikir tentang pembelian smoker. Kalau boleh menghasilkan ayam salai sendiri, mungkin boleh dikembangkan kepada produk lain pula.

Daripada ayam salai, mungkin boleh buat daging salai. Kemudian keli salai. Malah pisang salai pun boleh dicuba.

Satu produk membawa kepada idea produk yang lain.

Aku mula nampak Dapur Ketapang bukan sekadar tempat menghasilkan sambal atau makanan siap guna. Mungkin ia boleh berkembang menjadi sebuah dapur kecil yang menghasilkan pelbagai makanan homemade, berdasarkan apa yang kami makan, suka dan mampu hasilkan sendiri.

Sedikit demi sedikit, dengan kemampuan yang ada.

Aku tidak tahu sejauh mana perjalanan ini akan pergi. Tetapi sekurang-kurangnya sekarang aku ada arah yang mahu dituju.

Aku mahu membina sesuatu yang bukan hanya bergantung kepada kemahiran aku di depan komputer. Sesuatu yang boleh dibuat bersama isteri, yang produknya boleh dinikmati orang lain dan mudah-mudahan menjadi sumber rezeki yang berpanjangan.

Dan yang paling penting, ada satu niat yang sentiasa menjadi pendorong di belakang semua ini.

Mengumpul dana istitoah untuk menunaikan Haji.

Bersambung ke Bahagian 3...

Apresiasi Pembaca

Suka dengan cerita & catatan perjalanan ini?

Tekan butang suka untuk memberikan sokongan kepada usaha kami membina dapur salai tradisi sabut kelapa dan sajian 100% Real Food.

Sambungan Catatan • Nota 3

Nota 3 : Jangan Tunggu Sempurna Untuk Bermula

Catatan tentang cabaran memulakan Dapur Ketapang dengan prinsip Fast Action, Fast Result. Bermula dengan mempromosikan Ayam Salai dan Ibutumis kepada rakan-rakan melalui WhatsApp, menerima tempahan pertama dan membina website sendiri sebagai platform jualan tanpa bergantung kepada marketplace.

Terus ke Nota 3
Kongsikan Catatan Ini:

Catatan Diari Lain

Kisah perjalanan, operasi dapur dan refleksi masakan real food dari Pekan.

Lihat Semua

Mahu Rasa Masakan Real Food Kami?

Tempah pek Whole Leg Ayam Salai, Smokey Breast Chicken, atau Sosej Homemade Pekan hari ini.

Pesan Menu Ready Stock ↗
Nota 2: Mencari Sesuatu Yang Boleh Dibina Bersama | Diari Dapur Ketapang | Dapur Ketapang