Sebenarnya, Dapur Ketapang ini ada satu lagi tujuan peribadi. Aku nak jadikan ia satu cabaran untuk diri sendiri.
Seberapa pantas aku boleh membina sesuatu dan menghasilkan jualan?
Aku bukan sekadar mahu ada produk, ada website, kemudian tunggu orang datang membeli. Aku nak uji sendiri sejauh mana sesuatu idea boleh diterjemahkan menjadi bisnes yang benar-benar berjalan.
Ada satu perkara yang aku selalu fikirkan. Kalau kita nak buat sesuatu, kita tak perlu tunggu semuanya sempurna baru nak bermula.
Fikirkan idea. Buat sedikit perancangan. Analisis apa yang perlu, kira kos dan kemampuan. Kemudian terus bertindak.
Fast action, fast result.
Kadang-kadang kita terlalu lama berfikir. Nak buat itu, nak buat ini. Rancang macam-macam, kaji itu dan ini, sampai akhirnya masa berlalu tetapi satu pun tak bermula.
Bukan aku kata perancangan itu tak penting. Memang perlu ada perancangan. Cuma jangan sampai perancangan menjadi alasan untuk tidak bertindak.
Ada masanya kita perlu mula dahulu. Dalam perjalanan, kita belajar, kita baiki dan kita susun semula perancangan berdasarkan apa yang berlaku.
Planning sikit-sikit, buat dan terus perbaiki.
Jadi untuk Dapur Ketapang, aku cuba bergerak secepat mungkin.
Aku mula tawarkan produk kepada orang sekeliling. Rakan-rakan, kenalan dan sesiapa sahaja yang ada dalam lingkungan kita. Gunakan sahaja status WhatsApp. Kemudian mesej secara langsung kepada kawan-kawan.
Tak perlu malu.
Kalau orang berminat, alhamdulillah. Kalau orang tak berminat, tak mengapa. Bukan semua orang akan membeli dan bukan semua orang akan menjadi pelanggan kita.
Rejection itu perkara biasa dalam berniaga. Yang penting, kita berani memperkenalkan apa yang kita usahakan.
Alhamdulillah, minggu pertama sudah mula membuahkan hasil. Ayam salai dan Ibutumis mendapat sambutan daripada kenalan dan rakan-rakan.
Bagi aku, itu satu permulaan yang baik. Sekurang-kurangnya ada orang yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli sesuatu yang baru kita usahakan.
Satu lagi perkara yang aku sengaja buat berbeza kali ini ialah cara jualan.
Semua jualan aku tutup melalui website sendiri.
Kali ini aku tak menggunakan Shopee. Aku mahu cuba membina platform jualan sendiri. Bukan kerana Shopee tak bagus, tetapi aku mahu ada kawalan terhadap kedai sendiri.
Nak ubah harga, susun produk, tukar paparan, buat promosi atau tambah fungsi, semuanya boleh diuruskan sendiri. Tak perlu terlalu bergantung kepada peraturan dan struktur platform orang lain. Dan yang menarik, kita tidak perlu membayar caj komisen jualan platform seperti di marketplace.
Ini sebenarnya satu perkara yang aku memang mahu terokai.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang web, aku rasa inilah masanya untuk menggunakan kemahiran tersebut dalam bisnes sendiri. Selama ini aku bina website untuk orang lain. Kali ini aku bina untuk perniagaan keluarga sendiri.
Aku juga tertarik dengan seruan YB Syed Saddiq supaya peniaga tempatan membina dan menggunakan platform sendiri. Ada baiknya kita mula belajar memiliki saluran jualan sendiri, membina hubungan terus dengan pelanggan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada marketplace.
Mungkin bagi sesetengah orang, membina website sendiri nampak rumit. Tetapi bagi aku, ini satu peluang untuk menggabungkan dua dunia yang aku minat — teknologi dan makanan.
Dapur Ketapang menjadi tempat aku bereksperimen dengan kedua-duanya.
Daripada dapur menghasilkan produk, kepada website menerima pesanan. Daripada tangan isteri menyediakan makanan, kepada aku menguruskan platform jualan dan pemasaran.
Sedikit demi sedikit, semuanya mula bergerak.
Dan aku semakin yakin bahawa kadang-kadang kita tak perlu menunggu peluang yang sempurna. Kita hanya perlu mulakan dengan apa yang ada, kemudian berusaha memperbaikinya sepanjang perjalanan.
Yang penting, jangan hanya pandai merancang. Kena berani mula.
Bersambung ke Bahagian 4...
