Alhamdulillah, perkembangan Dapur Ketapang dari hari ke hari nampaknya semakin positif.
Apa yang menarik, kali ini aku cuba membawa satu pendekatan yang sedikit berbeza dalam berniaga. Aku tak mahu terlalu mengejar orang. Tak mahu juga memaksa diri memenuhi semua permintaan pelanggan sehingga akhirnya kita sendiri tak mampu menguruskan operasi.
Kita bergerak ikut fasa sendiri.
Ada modal, kita jalan. Tak ada modal, kita buat apa yang termampu. Ada kemampuan untuk menghasilkan sepuluh pek, kita buat sepuluh pek. Kalau hanya mampu lima, buat lima.
Satu perkara yang aku selalu pegang apabila memulakan sesuatu bisnes ialah:
Buat apa yang ada di tangan.
Kalau modal cuma RM100, mulakan dengan RM100. Tak perlu berangan hendak terus nampak seperti bisnes yang sudah bertahun-tahun beroperasi. Gunakan apa yang ada. Mulakan dahulu.
Aku teringat satu pengalaman lama ketika kami pernah menghasilkan dadih Seroot.
Waktu itu, modal permulaan kami hanya RM100. Dengan modal tersebut, kami berjaya menghasilkan lebih kurang 60 cawan dadih.
Kami teruskan sahaja. Jual, kumpul sedikit keuntungan, kemudian gunakan semula untuk pusingan seterusnya.
Dalam proses itu, sudah tentu ada masalah. Ada perkara yang kurang menjadi, ada formula yang perlu diperbaiki, ada kualiti yang perlu dipastikan. Semuanya kami belajar sedikit demi sedikit.
Bila sudah tahu apa yang perlu dibuat, batch kedua mungkin boleh dihasilkan dengan lebih banyak. Tetapi apabila kuantiti meningkat, kualiti juga mesti dijaga. Tak boleh sekadar mengejar jumlah pengeluaran.
Akhirnya, daripada modal RM100 dan pengeluaran sekitar 60 cawan, perniagaan dadih itu pernah berkembang sehingga mampu menghasilkan 1,000 cawan.
Bagi aku, pengalaman itu cukup mengajar sesuatu.
Kita tak perlu bermula besar untuk sampai ke tahap yang besar.
Bila sudah ada sedikit keuntungan, barulah kita kembangkan sedikit demi sedikit. Mungkin mula-mula kita perlukan peti sejuk tambahan. Kemudian mahu buat sticker yang lebih cantik. Selepas itu, mungkin mahu tukar kepada botol atau pembungkusan yang lebih baik.
Semua itu boleh dibuat apabila sudah sampai masanya.
Masalahnya, kadang-kadang kita terlalu cepat membandingkan diri dengan orang lain.
Kita tengok bisnes orang sudah ada kilang, pekerja, mesin, lori dan pembungkusan yang cantik. Lalu kita rasa bisnes kita pun mesti ada semua itu sebelum boleh dianggap serius.
Sedangkan mereka sudah berada pada fasa yang berbeza. Mereka ada modal, pengalaman, pasukan dan kapasiti yang mungkin kita belum ada.
Mereka ada permainan mereka sendiri. Kita pula ada perjalanan kita sendiri.
Tak perlu tergesa-gesa meniru cara orang yang sudah establish.
Kalau hari ini kita masih bekerja dari dapur rumah, tak mengapa. Kalau masih menggunakan peralatan yang sedia ada, tak mengapa. Kalau pengeluaran masih kecil, pun tak mengapa.
Yang penting, produk berkualiti, pelanggan berpuas hati dan perniagaan bergerak ke hadapan.
Jangan tamak. Jangan gopoh.
Kembangkan apabila sudah mampu. Baiki apabila nampak kelemahan. Tambah peralatan apabila benar-benar diperlukan.
Aku mahu Dapur Ketapang berkembang dengan cara begitu. Bukan membina sesuatu yang nampak besar di luar tetapi membebankan kita di belakang.
Buat apa yang ada di tangan. Mulakan dengan kemampuan sendiri. Biar perlahan, asalkan terus bergerak.
Bersambung ke Bahagian 5...
